Saturday, 27 September 2014

Konsep Toleransi Beragama Dalam Masyarakat Sabah

Konsep Toleransi Beragama Islam Masyarakat Sabah






Sebagai warga Malaysia di Sabah, saya terpanggil untuk berkongsi idea kenapa Sabah dipilih dan diberi pengiktirafan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai model 1Malaysia. Apakah elemen yang menjadi kekuatan warga Malaysia di Sabah yang berbeza dengan di Semenanjung?Memahami akar sejarah negara dan pembentukan Malaysia serta  tidak merungkai asas perlembagaan negara adalah prasyarat utama ke arah kejayaan gagasan 1Malaysia. Perkara ini mempunyai kaitan rapat dengan sikap dan amalan hidup masyarakat majmuk di Sabah.
Senario masyarakat majmuk di Sabah menonjolkan keunikannya yang tersendiri. Kemajmukan masyarakatnya bukan saja digambarkan melalui kepelbagaian etnik, dialek, budaya dan adat resam, malah diserikan lagi dengan kepelbagaian agama masyarakat pribumi di Negeri Di Bawah Bayu itu.
Kepelbagaian agama di Sabah tidak hanya tertumpu kepada kehadiran agama besar dunia yang terdiri daripada agama wahyu seperti Islam dan Kristian serta agama budaya seperti Buddha, Hindu dan Sikh, tetapi juga 'tiada agama', iaitu mereka yang hanya berpegang kepada kepercayaan animisme.
Berdasarkan banci penduduk Sabah pada 2000, satu peratus atau 26,598 penduduk Sabah tiada agama. Kepelbagaian agama ini turut menjadikan identiti etnik dan agama di kalangan pribumi Sabah bertindan lapis sehingga mereka sukar dikenal pasti atau sulit dibezakan.
Selain itu, toleransi antara masyarakat pelbagai agama dan etnik di Sabah dikatakan agak tinggi disumbangkan oleh faktor pengalaman pergaulan luas, penempatan penduduk bercampur dan perkahwinan campur yang berleluasa. Demikian juga jika dinilai tahap toleransi antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim yang bersikap sedia menerima pembinaan rumah ibadah yang saling berdekatan antara satu sama lain.
Di samping itu, Sabah juga mencatatkan sejarah perkembangan agama yang tersendiri apabila isu agama sama ada berkaitan pengislaman atau Kristianisasi sering dikaitkan dengan jatuh bangunnya parti pemerintah. Sememangnya cabaran dilalui tidak mudah kerana kepelbagaian merumitkan usaha ke arah perpaduan dan kesatuan masyarakat.
Namun cabaran ini mematangkan masyarakat Sabah, malah situasi ini juga tidak menjejaskan pergaulan mesra, suasana harmoni, bertoleransi serta hormat menghormati masih dapat bertahan kuat sebagai cara hidup penduduk Sabah.
Boleh dikatakan masyarakat majmuk di Sabah memberi pengiktirafan hakikat kepelbagaian agama dan sedia menerima masyarakat berbilang etnik dengan pelbagai budaya yang turut dikongsi bersama.
Satu daripada model 1Malaysia yang dimiliki masyarakat Sabah ialah model hubungan antara agama yang terbentuk melalui proses semula jadi. Sifat semula jadi ini wujud kerana konsep 'tinggal bersama' dan 'pertemuan' berlaku dalam suasana interaksi yang luas dan spontan serta didorong oleh asas persamaan yang dikongsi bersama.
Interaksi antara penganut berbeza agama dan etnik bermula sejak zaman kanak-kanak, iaitu sebelum bersekolah. Interaksi yang wujud membentuk jalinan persahabatan merentasi sempadan etnik dan agama. Misalnya, rakan sepermainan, sejiran, sekelas, sama sekolah, seasrama, serumah, rakan sekerja sehinggalah membentuk 'rakan sepasang'.
Persamaan asas yang dikongsi bersama seperti menjalankan urus niaga di pasar tamu, sambutan pesta Kaamatan (Pesta Menuai) dan bertutur dalam dialek Melayu Sabah bukan saja mewujudkan ruang interaksi dan memudahkan pergaulan berlaku, malah memupuk semangat solidariti dan perasaan pertanggungjawaban di kalangan masyarakat tanpa mengira latar belakang agama dan etnik.
Inilah kekuatan yang menjadi tunjang perpaduan dan keharmonian hidup bersama warga Malaysia di Sabah yang unik dan berbeza dengan negeri lain. Peranan tamu yang diadakan sekali seminggu di segenap pekan dan bandar di Sabah, bukan saja menyediakan ruang interaksi ekonomi, malah turut menyediakan ruang pertemuan pelbagai etnik dan agama di samping menjadi ruang menyebarkan maklumat.
Ia juga memberi mereka kesempatan berkenalan dan menonjolkan kebudayaan masing-masing. Secara tidak langsung tamu memberi kesempatan kepada mereka untuk mengenali satu sama lain di samping mewujudkan kemesraan serta memupuk persefahaman hasil daripada aktiviti yang dikongsi bersama.
Sejarah awal tamu mencatatkan bagaimana perkongsian aktiviti ini membentuk perdamaian antara etnik Kadazandusun dan Bajau. Masyarakat pribumi mempunyai corak ekonomi yang berbeza. Keadaan ini menyebabkan mereka saling bergantung kepada penghasilan ekonomi yang dihasilkan oleh etnik lain.
Pesta Kaamatan pula pada asalnya dirayakan masyarakat Kadazandusun secara kecil-kecilan tetapi kini diberi pengiktirafan sebagai satu perayaan kebudayaan peringkat nasional dan turut diraikan bersama etnik lain. Sejajar dengan peredaran zaman dan kemajuan negara, perayaan itu kini menjadi perayaan semua kaum yang merintis jalan untuk mencapai konsep 1 Malaysia.
Demikian juga peranan bahasa Melayu yang berasaskan dialek Melayu Sabah diterima pakai sebagai lingua franca kepada penduduk Sabah tanpa mengira etnik dan agama. Penggunaan bahasa yang sama dapat memupuk persefahaman yang baik di antara pelbagai etnik.
Bahasa Melayu diisytiharkan sebagai bahasa rasmi Sabah pada 16 September 1973. Usaha ini dijalankan oleh Tun Datu Mustapha yang berkeyakinan bahawa gandingan antara peranan bahasa Melayu dan pendidikan kebangsaan adalah alat perpaduan.
Namun, penggunaan bahasa Melayu yang baik masih lagi menimbulkan persoalan apabila penggunaan bahasa Melayu di Sabah dikatakan agak ranah. Memandangkan dialek Melayu Sabah ini mempunyai ciri dan sifatnya tersendiri, ramai anak Sabah yang belajar atau berhijrah ke Semenanjung lebih cenderung bergaul sesama mereka.
Keadaan ini bukan dipengaruhi oleh sentimen kenegerian atau bersikap prejudis terhadap rakan Semenanjung, sebaliknya pergaulan dan interaksi yang terjalin sesama 'anak perantau Sabah' dapat mengurangkan masalah tongue twist. Dengan kata lain, pergaulan lebih mudah kerana tidak perlu bertukar bahasa atau dialek dan mereka bebas menuturkan perkataan atau kosa kata yang hanya difahami mengikut 'slang' orang Sabah.
Keharmonian hidup yang dikecapi warga Malaysia di Sabah adalah warisan sejarah yang dicorakkan daripada akar sejarah Sabah. Tidak keterlaluan jika dikatakan Sabah adalah contoh terbaik jika kita ingin melihat konsep 1Malaysia dalam konteks perpaduan masyarakat di negeri itu.
Sebagai kesimpulan, gagasan 1Malaysia yang diilhamkan Perdana Menteri dengan memberi pengiktirafan kepada rakyat Sabah sebagai contoh terbaik tidak bermaksud memberi sanjungan mahupun pujian tetapi perkara yang lebih utama ialah bagaimana masyarakat berupaya memupuk sikap meraikan kepelbagaian.
Perbezaan agama dan etnik tidak menghalang untuk tinggal sebumbung, bersatu pada dan hidup dengan penuh harmoni. Tentunya formula ini dicerna daripada elemen pertemuan dan perkenalan yang dibentuk daripada tinggal bersama dan berkongsi aktiviti sama.
Sesungguhnya, fenomena masyarakat majmuk di Sabah sememangnya bersifat rencam dan kompleks, namun ia tidak dianggap positif atau negatif, sebaliknya neutral.

No comments:

Post a Comment