Sunday, 28 September 2014

TOKOH - TOKOH PEJUANG DI SABAH

Sabah sudah melalui separuh abad sebagai negeri merdeka dari cengkaman penjajah SBUB sejak 1881 dan bebas sepenuhnya pada 1963. Sebelum Sabah menyertai pembentukan Malaysia, ianya telah diisytiharkan sebagai sebuah negara selama 15 hari iaitu merdeka daripada penjajahan 31 Ogos 1963. Makna sebagai sebuah negara adalah amat bererti buat rakyat Sabah dan di mana penjajahan selama 82 tahun sudah cukup mengajar erti jiwa hamba kepada jiwa mereka.


Menghayati perjuangan tokoh-tokoh tempatan seperti Raja Ismail, Raja Tebuk, Datu Tating, Sharif Uthman, Raja Laut, Paduka Mat Salleh, Pak Musa, Antanom, Sagunting, Langkap, Panglima Udin, Mat Sator, Kamunta, Datu Mamuda, Datu Kedunding, Andamun, Pengiran Indera Jaya, Sharif Ali dan beberapa tokoh lain yang turut berjuang menghalang, menentang serta menghalau penjajah dari terus berkuasa merata harta warisan rakyat jelata Sabah. Kesemua tokoh-tokoh ini membayar perjuangan mereka dengan harta, masa, tenaga, pemikiran serta nyawa.



Antara tokoh terawal yang berjuang ialah Datu Tating.


Datu Tating telah menyerang Syarikat Hindia Timur Inggeris pada tahun 1775 di Pulau Balambangan. Beliau dengan beraninya menyerang British berserta para pengikutnya yang terdiri daripada kaum Suluk dan Iranun. Tindakan beliau ini menjadi pencetus terhadap penentangan di Sabah. 


Sharif Uthman menentang Inggeris di Teluk Marudu sekitar tahun 1830-an, dan penentangan ini diakhiri oleh Sharif Ali di Pandasan dan Ontoros anak lelaki Antanom di Tenom pada tahun 1915.





SBUB di bawah pimpinan Alfred Den dengan Varon Overback merupakan dua tokoh penting penjajah yang memajak Sabah daripada kesultanan Sulu. Pemajakan secara rasmi telah berlaku pada tahun 1881, dan sebelum itu penentangan orang tempatan terhadap penjajah yang bermula sekitar 1775 dalam tempoh 106 tahun barulah hasrat serta cita-cita pihak kolonial berjaya mendapatkan Sabah sepenuhnya.



Penentangan oleh Sharif Uthman sekitar 1830an di Teluk Marudu terhadap Syarikat Hindia Timur Inggeris merupakan penentangan terbesar di Sabah. Beliau bersama pengikutnya seramai lebih kurang 2 000 orang yang terdiri daripada orang Bajau dan Iranun telah mencabar SHTI di perairan Teluk Marudu dengan menyediakan kubu bagi mengahadapi serangan askar penjajah.



Setelah itu, pihak penjajah terus menerima tentangan hebat daripada pejuang seterusnya seperti Paduka Mat Salleh sekitar tahun 1897 hingga 1900. Tentangan yang dibuat oleh beliau memakan masa lebih kurang 3 tahun dan serangan demi serangan dilakukan terhadap kedudukan SBUB yang berpusat di Inanam, Api-Api, Pulau Gaya, Sandakan, dan Ambong. SBUB juga terpaksa menghadapi tentangan seterusnya daripada pengikut Mat Salleh iaitu Mat Sator dan Datu Mamuda yang menyerang Kudat pada April 1900 serta Kamunta yang menyerang Tempasuk dan Menggatal pada Mei 1900.



Selepas tahun 1915, SBUB berasa selesa apabila penentangan secara fizikal terhenti sehinggalah Jepun menduduki Sabah sekitar tahun 1942. Namun begitu muncul juga beberapa persatuan yang aktif dan memberi kesedaran kepada masyarakat seperti Persatuan Melayu Tawau ( PMT ) yang berasaskan kepada gerakan politik Islam, lahir Cawangan Persatuan Persaudaraan Sahabat Pena Malaya (PASPAM ) pada tahun 1939 di Jesselton, Tawau serta Labuan dan juga kemunculan Persatuan Barisan Pemuda ( BARIP ) pada tahun 1939 di Jesselton. Gerakan ini dipimpin oleh tokoh-tokoh yang berpendidikan dan mereka ini telah mendapat pendedahan daripada para pejuang di Semenanjung Tanah Melayu serta Indonesia.

Setelah kemerdekaan dicapai, maka pungutan suara yang dipantau oleh PBB di Sabah, Sarawak dan Singapura mendapati majoriti rakyat menyokong penubuhan Malaysia dan tarikh 16 September 1963 adalah hari pembentukan Malaysia, di mana Sabah, Sarawak, Singapura dan Semenanjung Tanah Melayu bergabung menjadi sebuah negara. Sabah dan Sarawak diberi keistimewaan dengan 20 perkara yang melindungi hak-hak rakyat Sabah yang lambat merdeka 6 tahun berbanding Semenanjung Tanah Melayu.

No comments:

Post a Comment